22 Feb, 2012 Ekonomi Islam admin Permalink
Oleh Muhammad Hafiz Othman
Usia perbankan Islam di Malaysia hampir 30 tahun sebaik-baik sahaja tertubuhnya Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) pada tahun 1983 di bawah Akta Perbankan Islam 1983. Sepuluh tahun kemudian, penyertaan bank konvensional merancakkan sistem perbankan Islam lagi. Antara agenda dalam merealisasikan sistem perbankan Islam termasuklah mempelbagaikan produk dan perkhidmatan patuh syariah. Prinsip syariah menjadi antara tulang belakang yang menegakkan sistem perbankan Islam.
Secara umumnya, patuh syariah dalam konteks kewangan Islam di Malaysia bermaksud produk atau perkhidmatan yang ditawarkan oleh mana-mana institusi kewangan yang memenuhi keperluan perundangan Islam dari tiga aspek, iaitu dari segi larangan yang berkaitan dengan riba, ketidakpastian atau kekaburan dalam kontrak (gharar), perjudian dan aktiviti lain yang melibatkan produk atau perkhidmatan yang tidak beretika oleh Majlis Penasihat Syariah. Hal ini juga bermakna sebarang produk atau perkhidmatan kewangan Islam perlu mematuhi prinsip syariah.
Secara ringkasnya, mana-mana produk perbankan Islam perlu melalui dua tahap penilaian. Pertama, penilaian syariah yang dilakukan oleh penasihat syariah dalam sesebuah bank. Kedua, penilaian yang dilakukan oleh Majlis Penasihat Syariah di Bank Negara Malaysia (BNM). Proses pematuhan syariah ini bertujuan bagi memastikan produk dan perkhidmatan bank Islam sentiasa harmoni dengan landasan syariah.
Namun demikian, pematuhan syariah tidak semestinya bermaksud berasaskan syariah. Banyak salah faham berlaku apabila konsep pematuhan syariah digunakan. Banyak juga yang beranggapan bahawa konsep patuh syariah adalah sama dengan konsep berasaskan syariah. Konsep berasaskan syariah lebih konservatif. Hal ini bermakna elemen haram atau kekaburan tidak boleh menyelinap masuk dalam urusan kewangan Islam.
Keadaan ini berbeza daripada prinsip pematuhan syariah yang diamalkan, iaitu kelonggaran dibenarkan – yang bermakna elemen haram dan gharar dibenarkan – biasanya dengan alasan maslahat (kepentingan pihak umum) atau umum balwa (keadaan buruk yang tidak boleh dielakkan). Oleh itu, walaupun prinsip patuh syariah menggariskan larangan tertentu, alasan “hikmat” seperti maslahat dan umum balwa membolehkan elemen terlarang tadi wujud dalam kontrak produk dan perkhidmatan perbankan Islam.
Jika diteliti prinsip pematuhan syariah ini, antara lainnya didasari prinsip kepentingan umum atau maslahat. Hal ini bermakna mungkin terdapat elemen yang haram dalam produk atau perkhidmatan kewangan Islam, tetapi diluluskan oleh Majlis Penasihat Syariah BNM atas alasan kepentingan masyarakat (maslahat) patut diutamakan. Walau bagaimanapun, apa-apa bentuk kepentingan maslahat yang diutamakan tidak pernah dijelaskan. Tambahan pula, kekaburan berlaku tentang kepentingan kumpulan dalam masyarakat yang diutamakan apabila pihak yang tentunya mengaut untung ialah pihak bank sendiri. Sememangnya dalam jangka panjang, pihak yang bertuah dalam skim perbankan Islam ini ialah pihak bank sendiri.
___
Rencana ini dipetik daripada Dewan Ekonomi Februari 2012.
Majlis Penasihat Syariah Bank
Majlis Penasihat Syariah (MPS) Bank Negara Malaysia ditubuhkan pada bulan Mei 1997 sebagai pihak berkuasa tertinggi Syariah dalam kewangan Islam di Malaysia. MPS diberikan kuasa untuk menentukan hukum Syarak bagi perniagaan perbankan Islam, takaful, perniagaan kewangan Islam, perniagaan kewangan pembangunan Islam, atau apa-apa perniagaan lain, yang berlandaskan prinsip Syariah dan diselia serta dikawal oleh Bank Negara Malaysia. Sebagai badan yang menjadi tempat rujukan dan penasihat kepada Bank Negara Malaysia mengenai perkara Syariah, MPS juga bertanggungjawab bagi pengesahan semua produk perbankan Islam dan takaful untuk memastikan kesesuaian produk tersebut dengan prinsip Syariah. Selain itu, MPS menasihati Bank Negara Malaysia tentang apa-apa isu Syariah berkaitan dengan perniagaan atau urus niaga kewangan Islam Bank Negara Malaysia serta entiti berkaitan lain.
Dalam Akta Bank Negara Malaysia 2009 yang terkini, peranan dan fungsi MPS dimantapkan lagi apabila MPS diberikan status badan berkuasa tunggal mengenai perkara Syariah yang berkaitan dengan perbankan Islam, takaful dan kewangan Islam. Sementara keputusan MPS hendaklah terpakai daripada apa-apa keputusan bercanggah yang diberikan oleh badan atau jawatankuasa Syariah yang ditubuhkan di Malaysia, mahkamah dan penimbang tara juga dikehendaki merujuk kepada keputusan MPS bagi mana-mana prosiding yang berkaitan dengan perniagaan kewangan Islam, dan keputusan tersebut hendaklah mengikat.
Anggota MPS, yang terdiri daripada cendekiawan Syariah, pakar undang-undang dan pengamal pasaran yang terkemuka, merupakan individu yang berkelayakan dan mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang perbankan, kewangan, ekonomi, undang-undang dan aplikasi Syariah, terutamanya dalam bidang ekonomi dan kewangan Islam.
Senarai anggota MPS bagi tahun 2010/2013 adalah seperti yang berikut:
Profil ahli MPS (2013 - 2016)
Tutup semua | Lihat semua
Dr. Mohd Daud Bakar (Pengerusi)
Prof. Madya Dr. Mohamad Akram Laldin (Timbalan Pengerusi)
Yang Amat Arif Tun Abdul Hamid Mohamad
Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman
Y.B. Sahibus Samahah Dato’ Haji Hassan Ahmad
Prof. Dr. Engku Rabiah Adawiah Engku Ali
Prof. Dr. Ashraf bin Md. Hashim
Prof. Madya Dr. Rusni binti Hassan
Prof Madya Dr. Asmadi Mohamed Naim
Dr. Shamsiah Mohamad
En. Burhanuddin Lukman